Pada 1 Jun 2013 yang lepas, pihak
Biro Perhubungan dan Penempatan PRISMA telah menganjurkan mini jaulah ke
tempat-tempat yang bersejarah di sekitar Amman. Antara tempat yang kami lawati
ialah Gua Ashabul Kahf. Ini adalah kali ke-4 saya menjejakkan kaki di gua ini.
Sejak
menjejakkan kaki di bumi Jordan ini, saya cuba mencari sumber bacaan mengenai
kisah Ashabul Kahfi. Ternyata banyak pandangan mengenai tempat berlakunya
peristiwa tersebut.
Antara
pandangan di mana berlakunya peristiwa tersebut :
1)
4 di Turki (Ephesus, Tarsus,
Kahramanmaras, Mardin)
2)
1 di Syria (Jabal Qassiyun)
3)
1 di Jordan (Abu Alanda)
Ada juga pendapat yang lemah
mengatakan ia berlaku di Saudi Arabia dan Sepanyol.
Berikut adalah artikel ringkas
yang saya petik daripada sebuah blog kepunyaan Ustaz Muhamad Hazimin Bin
Sulaiman. Beliau merupakan rakan kepada senior saya, Ustaz Shahrul Ifwat yang
banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya. Terima kasih ustaz.
Kisah Ashabul Kahfi Dan Beberapa
Bukti Peristiwa Berlaku di Jordan
Penulis : Muhamad Hazimin bin Sulaiman
Lokasi Gua Ashabul Kahfi terletak
kira-kira 7km dari pusat bandar Amman, Jordan. Kawasan ini suatu ketika dahulu
dikenali dengan Ar-Raqim kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama
Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut. Perkataan Ar-Raqim juga disebut di dalam
Al-Quran dan Ahli Tafsir menafsirkan Ar-Raqim sebagai nama anjing dan ada yang
menyatakan ia sebagai batu bersurat.
Kahf Ahlil Kahf merupakan
lokasi sejarah yang membuktikan kebenaran kisah di dalam Al-Quran iaitu di
dalam Surah Kahfi mulai ayat 9 hingga 26. Ayat di dalam Surah tersebut
menceritakan bagaimana 7 orang pemuda yang beriman kepada Allah melarikan diri
ke sebuah gua dan Allah menidurkan mereka selama 309 tahun Qamariah (300 tahun
Shamsiah) sehingga mereka tidak dapat dibangunkan oleh suara apa sekalipun.
Kisah 7 pemuda ini bermula
apabila mereka berhadapan dengan raja yang zalim dan mengakui bahawa mereka
hanya beriman kepada Allah yang menguasai langit dan bumi. 7 orang pemuda
tersebut melarikan diri dari raja yang zalim bersama seekor anjing mereka ke
sebuah gua dan bersembunyi di situ lalu mereka ditidurkan oleh Allah selama 309
tahun Qamariah.
Apabila mereka bangun, salah
seorang dari mereka keluar untuk membeli makanan dan mendapati zaman tersebut
telah berubah dari zaman mereka memasuki gua. Ini disedari apabila wang yang
mereka gunakan sudah tidak laku pada zaman tersebut (zaman mereka dibangkitkan).
Pemuda tersebut kembali ke gua
dan pemuda-pemuda tersebut dimatikan oleh Allah di dalam gua tersebut.
Ahli sejarah Islam dan barat
telah banyak menjalankan kajian di manakah tempat berlakunya kisah 7 pemuda
tersebut ditidurkan oleh Allah dalam tempoh masa yang lama. Para pengkaji Islam
menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan manakalan penganut kristian
mempercayai kisah ini berlaku dan menjalankan kajian mereka dari kitab bible.
Pelbagai hasil kajian, pandangan telah diberikan dalam menyatakan bilakah kisah
ini berlaku? Di manakah ia berlaku? Persoalan-persoalan ini telah cuba dikupas
sejak zaman berzaman dan turut dibincangkan oleh 'Alim Ulama terdahulu dan
dibentangkan di dalam kitab-kitab tulisan mereka.
Bilakah ia berlaku?
Pandangan pertama menyatakan
kisah ini berlaku pada zaman maharaja Rum Daqyanus atau dikenali sebagai Decius
yang menguasai Amman dan memerintah sekitar tahun 249-251 Masihi. Daqyanus
terkenal sebagai maharaja yang amat memusuhi agama Nasrani dan menyeksa
pengikut-pengikutnya. Pemuda-pemuda tersebut dikatakan bangun ketika zaman
Theodicius II yang memerintah antara tahun 408 sehingga 521 Masihi.
Pandangan kedua berpendapat
bahawa kisah ini telah berlaku pada zaman penguasaan Maharaja Trajan. Manuskrip
sejarah membuktikan bahawa diktator ini menyembah berhala dan membunuh sesiapa
sahaja yang menentang tuhan-tuhannya sehinggakan Trajan mengeluarkan peraturan
berhubung dengan perkara tersebut. Siapa yang beriman selain dari tuhan yang
dia sembah, mereka akan dibunuh. Tempoh penguasaan Trajan adalah di antara
tahun 98-117 masihi. Pemuda-pemuda beriman tersebut dikatakan bangun dari tidur
ketika zaman Theodicius yang memerintah antara tahun 408-450 masihi.
Di manakah ia berlaku?
Terdapat pandangan yang
mengatakan bahawa kisah ini berlaku di Turki, Jordan, Syria, Arab Saudi dan
Sepanyol. Di Turki sahaja terdapat 4 lokasi dikatakan peristiwa itu berlaku
(Ephesus, Tarsus, Kahramanmaras dan Mardin). Penulis telah berpeluang
menziarahi 3 lokasi di mana terdapatnya Gua Ashabul Kahfi iaitu di Abu Alanda,
Jordan. Ephesus, Turki dan Jabal Qassiyun, Syria.
Apa yang boleh penulis simpulkan
hasil dari bacaan, pemerhatian di lokasi-lokasi tersebut dua lokasi di Ephesus
dan Jabal Qassiyun tidak banyak membuktikan bahawa di situ berlakunya peristiwa
tersebut. Bukti yang penulis maksudkan ialah dari ciri-ciri gua yang
diterangkan di dalam ayat Al-Quran. Berbeza dengan gua yang terdapat di Abu
Alanda, Jordan. Ciri-ciri seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran agak
bertepatan.
3 ciri dari ayat Al-Quran yang menjadi perhatian penulis ialah :
Pertama : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 17-
17. Dan Engkau akan melihat matahari ketika terbit,
cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan
mereka ke arah kiri, sedang mereka berada Dalam satu lapangan gua itu...
Lokasi Gua Ashabul Kahfi di Abu Alanda, Jordan terdapat sebuah lubang dari atas
gua yang memasuki cahaya ketika matahari terbit dan ketika terbenam matahari
berada dari arah pintu gua.
Kedua : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 21
21. ... setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata:
"Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah Yang
mengetahui akan hal ehwal mereka". orang-orang Yang berkuasa atas urusan
mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya Kami hendak membina sebuah
Masjid di sisi gua mereka".
Di atas Gua Ashabul Kahfi di Abu Alanda terdapat rumah ibadat yang dibina
ketika zaman tersebut. Rumah ibadat yang dimaksudkan adalah rumah ibadat
penganut nasrani. Ketika zaman kerajaan Umawiah, rumah ibadat tersebut telah
dijadikan masjid.
Ketiga : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 17
17. ..sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu.
Bentuk gua yang terdapat di Abu Alanda adalah luas dan
lapang serta tidak dalam.
Bukti dari kesan sejarah dan
arkeologi
Beberapa bukti telah dikenalpasti
dari kesan-kesan tinggalan sejarah dan arkeologi bahawa gua yang terdapat di
Abu Alanda, Jordan merupakan gua di mana berlakunya peristiwa tersebut.
1)
Terdapat tulisan pada
lengkungan pintu di dinding sebelah Timur yang menyatakan 'Masjid diperbaharui
pada tahun 117 hijrah yang merujuk kepada zaman Hisham bin Abdul Malik bin
Marwan. Ini membuktikan bahawa ketika era kerajaan Umawiah mereka sudah
memperharui masjid yang sebelum itu menjadi rumah ibadat nasrani. Kesan yang
boleh dilihat ialah binaan mihrab (petunjuk arah kiblat) yang terdapat di atas
gua tersebut.
2)
Tulisan khat Kufi turut
ditemui yang mengisyaratkan bahawa masjid kedua di Ashabul Kahfi diperbaharui
pada zaman Khomarumiah bin Ahmad Tholun dari kerajaan Abasiah. Masjid kedua
yang dimaksudkan ialah masjid yang dibina berhadapan dengan gua Ashabul Kahfi
setelah masjid pertama diwujudkan di atas gua ketika zaman Umawiah.
3)
Kesan Nawawis di
dalam gua. Nawawis di dalam Mu'jam Wasit (m/s 962) memberi erti kubur orang
nasrani yang diletakkan mayat di dalamnya. Pada Nawawis tersebut terdapat
bintang segi lapan yang membuktikan tanda zaman kerajaan Rum-Byzantium pada
kurun ke-3 masihi. Menjadi adat pada ketika itu, mayat-mayat nasrani akan
dikuburkan di dalam bekas batu. Ini tidak mustahil bahawa mereka yang telah
menguruskan mayat pemuda tersebut telah mengkebumikan mereka dengan cara dan adat
mereka pada ketika itu.
4)
Penemuan barangan tembikar, duit tembaga dan
perak, lampu dari pelbagai zaman (Umawiah, Abasiah, Turki Uthmaniyyah) di dalam
gua tersebut dan sekitarnya. Ia membawa maksud bahawa tempat itu telah dijaga
oleh pelbagai zaman yang berlalu.
5)
Al-Waqidi di dalam kitabnya Futuhat Sham telah
menulis bahawa beliau bersama yang lain telah berhenti di Ain Ma' berhampiran
gua ashabul kahfi. Mereka berhenti di Ain Ma' tersebut berwuduk, solat dan
tidur di situ sebelum meneruskan perjalanan keesokkan harinya ke tanah
Palestin. Ain Ma' terletak 70 meter dari gua ashabul kahfi.
6)
Pokok zaitun berusia
ratusan tahun tumbuh berhadapan gua. Pokok tersebut telah mati dan kesan batang
pokok zaitun yang berusia ratusan tahun itu kini ditempatkan di dalam muzium
mini di dalam gua.
7)
Penemuan tulang di dalam Nawawis.
Dikatakan bahawa tulang-tulang tersebut adalah kepunyaan pemuda-pemuda
tersebut.
Dari beberapa penemuan dan bukti yang ada. Berkemungkinan peristiwa yang telah
dinyatakan di dalam Surah Kahfi mengenai pemuda-pemuda yang ditidurkan selama
300 tahun Shamsiah telah berlaku di Abu Alanda, Jordan.
Wallahualam.
-----
Begitulah serba sedikit pembentangan yang dapat saya berikan untuk dikongsi
bersama dengan pembaca. Namun ia hanya sebuah pandangan dari saya hasil dari
bacaan yang sedikit dan tinjaun yang masih belum menyeluruh.
Saya telah tiba di Gua Ashabul Kahfi Ephesus Turki pada Mei 2002. Terdapat
bukti lubang cahaya, kesan Nawawis namun ianya seperti 'samar'.
Jun 2003 saya berpeluang bersama krew Jejak Rasul di Syria. Banyak ilmu saya
dapat apabila dapat berbual dan berbincang dengan Ust Wan Alias Abdullah. Saya
bertanya tentang Gua Ashabul Kahfi. Beliau lebih meyakini bahawa di Tarsus
adalah tempat peristiwa itu berlaku.
Feb 2006 saya membuat tinjaun di Ashabul Kahfi yang terletak di Jabal Qassiyun,
Syria. Tidak banyak bukti ia berlaku di situ. Menurut penjaga disitu, lubang
cahaya telah ditutup. Namun di atas gua tersebut ada sebuah masjid.
2000-2007 saya sering ke Ashabul Kahfi di Amman. Mungkin ada yang berkata
disebabkan kekerapan saya ke gua tersebut, saya lebih mengatakan disitu
berlakunya peristiwa tersebut. 'Tuduhan' itu salah. Saya lebih mengatakan
bahawa di Abu Alanda berlakunya peristiwa tersebut ialah hasil dari bacaan dan
tinjauan yang telah saya bentangkan di dalam artikel di atas. Jika ada
pandangan yang lebih tepat sudah pasti saya akan menerimanya.
Mengkaji di mana peristiwa ini berlaku penting namun apa yang lebih penting
adalah pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah Ashabul Kahfi tersebut.
Antaranya ialah kehebatan iman pemuda-pemuda tersebut yang mampu berhadapan
dengan maharaja yang zalim demi keimanan mereka kepada Allah S.W.T.
Cc : Ustaz Muhamad Hazimin Bin Sulaiman
(penghunisahara.blogspot.com)
Begitulah sedikit sebanyak tentang Ashabul Kahfi yang dapat saya nukilkan untuk entry pada kali ini.
Mengkaji di mana peristiwa ini berlaku penting namun apa yang lebih penting adalah pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah Ashabul Kahfi tersebut. Antaranya ialah kehebatan iman pemuda-pemuda tersebut yang mampu berhadapan dengan maharaja yang zalim demi keimanan mereka kepada Allah S.W.T.
 |
Pandangan pintu masuk Gua Ashabul Kahfi |
 |
Antara kesan Nawawis |
 |
Mini muzium di dalam Gua Ashabul Kahfi |
 |
Gambaran jauh Gua Ashabul Kahfi |
 |
Antara peserta Journey of Jordan 2012 |