Wednesday, November 6, 2013

Istanbul, Aku datang ! Part 3

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum w.b.t...

Alhamdulillah, pada hari ini, Allah telah memberikan saya kesempatan untuk mencoretkan serba sedikit pengalaman saya ketika berada di Turki pada Ogos yang lalu. Sebelum saya bercerita lebih lanjut berkaitan tempat-tempat yang menarik di Istanbul & Bursa serta sejarah tempat tersebut, moleklah kiranya jikalau saya bercerita serba sedikit berkenaan Kota Istanbul.

ISTANBUL. Istanbul merupakan sebuah kota bersejarah yang pernah menjadi pusat pemerintahan 3 kerajaan yang agung (Empayar Byzantium, Empayar Rom dan Empayar Turki Uthmaniyyah).

Istanbul, merupakan sebuah kota yang mempunyai sejarah lebih daripada 2500 tahun dikelilingi oleh Laut Marmara, Selat Bhosphorus dan Golden Horn.

Istanbul adalah sebuah bandar yang suci , di mana masjid-masjid, gereja-gereja dan rumah-rumah ibadat terletak sebelah menyebelah , dan juga mengisytiharkan persaudaraan sesama mereka. Istanbul juga terkenal dengan istana-istana, rumah-rumah dan bangunan-bangunan monumental - setiap satu mempunyai gaya dan seni bina unik yang telah diwarisi dari Zaman Uthmaniyyah.

Antaranya, Dolmabahce Palace, Masjid Tophane, Menara Galata (Christea Turris) - dibina oleh Genoa, Masjid Sultanahmet, Ayasofya (Hagia Sophia) - salah satu bangunan monumental agama Kristian yang mempunyai mosaik yang unik, Istana Topkapi - pusat pentadbiran Kerajaan Uthmaniyyah, meningkat tinggi di atas Golden Horn - Masjid Suleymaniye karya imperial arkitek Mimar Sinan, Kapali Carsi (Grand Bazaar), Yerebatan Sarnici (Basilica Cistern) dan banyak lagi tempat lain yang menarik membuatkan Istanbul menjadi pusat tinggalan sejarah dan budaya.

Berikut saya sertakan gambar-gambar menarik sekitar Istanbul :

Tram yang menjadi nadi pengangkutan penduduk Istanbul

Masjid Sultan Muhammad Al-Fateh

Kebab Turki - Nyum Nyum Nyum

Antara pintu masuk ke Topkapi Palace

Salah sebuah bilik untuk bersidang di dalam Istana Topkapi

Antara barang tinggalan zaman Rom, Muzium Arkeologi

Stesen bas untuk ke Bandar Fetih

Pemandangan dari kawasan atas Eyup Sultan

Masjid Biru

Antara taman rekreasi yang terletak di Topkapi

Setakat ini sahaja dahulu post saya pada hari ini, insyaAllah, saya akan update tentang Turki dalam masa yang terdekat ni. :)




Friday, October 25, 2013

Peperangan Mu'tah : Suatu Ibrah



PENDAHULUAN

Perang Mu`tah berlaku pada bulan Jamadil Awwal tahun 8H bersamaan bulan Ogos atau September 629M. Mu`tah ialah ssebuah kampong yang terletak di daerah Balqa` yang berada di dalam negeri Syam. Negeri Syam ialah jajahan takluk empayar Rom yang ketika itu diperintah oleh Maharaja atau Kaisar Hercules. 


Kaisar Hercules sebelum ini pernah mendapat risalah daripada Rasululullah SAW untuk memeluk Islam akan tetapi baginda menolak kerana lebih menyayangi kekuasaannya.

Hercules takut kuasanya sebagai maharaja jatuh kerana memeluk Islam walaupun mengetahui kebenaran Islam. Perang ini merupakan pertembungan pertama tentera Islam dengan tentera Rom. Ianya juga merupakan pertembungan kali pertama tentera Islam di luar negeri Hijaz (kini dikenali sebagai Arab Saudi).



PUNCA BERLAKU PEPERANGAN MU'TAH


Rasulullah SAW telah menghantar seorang utusan iaitu Al-Harith bin Umar Al-Uzdi kepada pembesar di Busra, Syam. Gabenor daerah Banu Balqa` iaitu Syurahbil bin Umar Al-Ghassani telah menangkap utusan Rasulullah SAW dan diserahkan kepada Kaisar Rom. Utusan Rasulullah SAW kemudiannya dibunuh dengan cara lehernya dipancung.


Tindakan membunuh utusan tindakan tersebut merupakan suatu jenayah dan seakan-akan pengisytiharan perang terhadap kaum Muslimin. Oleh itu, baginda Rasulullah SAW telah mengerahkan tentera Islam untuk memerangi kezaliman Kaisar Rom.



KEKUATAN UMAT ISLAM

- Bilangan Tentera : 
3000 orang

- Pemimpin : 
Zaid bin Harithah
Jaafar bin Abi Talib
Abdullah bin Rawahah
Khalid bin Al-Walid
Qutbah bin Qutadah Al-Uzri
Ubadah bin Malik Al-Ansari


- Persenjataan :
Kurang Kelengkapan


- Kematian :
12 orang tentera


KEKUATAN MUSUH ISLAM

- Bilangan Tentera :
-100 000 tentera Rom
-100 000 tentera kabilah Arab di Syam iaitu Lakham, Juzman, Balqin, Bahra`a dan Bila


- Pemimpin : 
Syurahbil bin Umar Al-Ghassani (Panglima Rom)

- Kelengkapan :
Serba lengkap


- Kematian : 
Tidak dapat dikenalpasti 


Urutan Peristiwa

1. Utusan Rasulullah SAW ke negeri Syam iaitu Al-Harith bin Umar Al-Uzdi telah dibunuh oleh Kaisar Rom
setelah ditangkap oleh Gabenor Bani Balqa`, Syurahbil bin Umar Al-Ghassani.


2. Rasulullah SAW mengerahkan kekuatan terbesar tentera Islam sejak Perang Ahzab seramai 3000 tentera
untuk berdepan dengan tentera Rom. Zaid bin Harithah, anak angkat baginda menjadi panglima perang.


2. Baginda berpesan Jaafar bin Abi Talib akan menggantikan Zaid bin Harithah jika beliau syahid. Abdullah
bin Rawahah akan menggantikan Jaafar bin Abi Talib jika beliau syahid.


3. Tentera Islam bergerak sehingga ke utara Hijaz dan singgah sebentar di Maan sebuah daerah Syam
selama 2 hari.


4. Hasil perisikan tentera Islam mendapati bahawa tentera Rom sudah berada di Maab, daerah Balqa`.


5. Kekuatan mereka dianggarkan seramai 200 000 orang. Tentera Islam mula bermesyuarat untuk mengatur strategi.


6. Cadangan untuk menunggu bantuan daripada Madinah ditolak Abdullah bin Rawahah. Beliau mencadangkan supaya tentera Islam terus mara ke barisan hadapan. Pilihannya sama ada menang dengan kemuliaan atau mati syahid. Cadangan beliau dipersetujui semua orang.

7. Tentera Islam mara ke Balqa` dan bertembung dengan segerombolan tentera Rom di Masyarif. Tenteramusuh cuba mendekati tentera Islam. Tentera Islam seterusnya menuju ke kawasan yang dikenali sebagai Mu`tah.


8. Strategi disusun. Sayap kanan tentera Islam dipimpin oleh Qutbah bin Qutadah Al-Uzri dan sayap kiri dipimpin oleh Ubadah bin Malik Al-Ansari.


9. Perang pun berlaku dengan sengit. 3000 tentera Islam merempuh 200 000 tentera Rom dengan keazaman jihad yang tinggi dan bercita-cita untuk mati syahid di jalan Allah.


10. Zaid bin Harithah yang memegang panji perang Islam syahid terkena tikaman musuh. Jaafar bin Abi Talib
menggantikan beliau.


11. Jaafar bin Abi Talib turun dari kudanya lalu membunuh kudanya untuk mengelakkan gangguan kerana rasa berat berpegang dengan kudanya. Beliau memegang panji menggantikan Zaid bin Harithah.


12. Jaafar bin Abi Talib setelah syahid terputus kedua belah tangannya. Badan beliau terdapat kesan lebih 50 tikaman pedang dari sebelah hadapan. Riwayat Ibnu Umar menyatakan 90.

13. Abdullah bin Rawahah yang menggantikan beliau juga syahid.

14. Thabit bin Arqam, seorang tentera Islam dari Banu Ijlan memegang panji Islam sambil melaungkan seseorang perlu dipilih untuk memegangnya.


15. Khalid bin Al-Walid telah dipilih oleh tentera Islam untuk menjadi panglima. Perang terus berkecamuk.


16. Perang berhenti seketika buat hari tersebut. Khalid bin Al-Walid menyusun semula strategi baru. Beliau merasakan bahawa tentera Islam yang sangat kekurangan dari segi kuantiti tentera agak sukar untuk mengalahkan tentera Rom. Oleh itu, beliau merancang untuk membuat tipu helah bagi memperdayakan musuh.


17. Keesokan harinya, selepas Subuh beliau mengarahkan barisan hadapan ke belakang dan belakang ke hadapan. Barisan ke kiri ke kanan dan barisan kanan ke kiri.


18. Tentera Rom merasa ketakutan kerana menyangka bantuan telah tiba kepada tentera Islam. Semasa pertempuran berlangsung tentera Islam berundur perlahan-lahan ke barisan belakang.


19. Tentera Rom tidak memburu tentera Islam sebaliknya berundur kerana menyangka tentera Islam telah menyediakan perangkap di padang pasir. Oleh itu, tentera Islam berjaya berundur dengan selamat dan menewaskan tentera Rom.

20. 12 tentera Islam syahid sementara korban tentera Rom tidak diketahui tetapi dianggarkan tinggi.


21. Tentera Islam pulang ke Madinah. Kedengaran suara-suara yang mengkritik bahawa kepulangan mereka sebagai suatu tanda kekalahan. Rasulullah SAW berkata bahawa mereka bukanlah orang yang lari akan tetapi mereka akan menyerang semula dengan izin Allah.

Saturday, October 12, 2013

Istanbul, Aku datang ! Part 2

5 Tempat Menarik di Istanbul

1 Istana Topkapi
Salah sebuah pintu masuk Istana Topkapi
2 Hagia Sophia
Hagia Sophia
3 Masjid SultanAhmet (Masjid Biru)
Pemandangan daripada Sultanahmet Park
4 Musium Arkeologi Turki
Archeology Museum
5 Grand Bazaar
Kapalicarsi (Grand Bazaar)

Setakat ini sahaja perkongsian saya pada hari ini. InsyaAllah, saya akan menceritakan serba ringkas sejarah-sejarah tempat ringkas yang telah saya lawati pada Ogos lalu. :)

Wallahua'lam.





Istanbul, Aku datang ! Part 1

Bismillahirrahmanirahim...
Assalamualaikum w.b.t...

Alhamdulillah, setelah sekian lama menyepi daripada ruangan blog yang saya sayangi ini, akhirnya, hari ini Allah telah memberikan kekuatan untuk kembali menulis.

Hari ini, saya ingin berkongsi kepada semua tentang ceritera cinta saya di bumi Turki. :)

Alhamdulillah, pada 21 Ogos 2013, saya dan beberapa orang rakan saya telah pergi ke Turki untuk menenangkan fikiran yang agak bercelaru memikirkan masalah ummah. (Macam gempak kan?Padahal, saja nak jalan-jalan sebab tak balik Malaysia)

Lapangan Terbang Malik Husin, Aqaba, Jordan

Kami dijadualkan bertolak daripada Lapangan Terbang Malik Husin, Aqaba pada jam 3.15 a.m. Lapangan terbang ini kecil sahaja dan ramai yang tidak menyedari kewujudannya. Kemudian, kami tiba di Lapangan Terbang Ataturk, Turkey pada jam 6.00 a.m. Tempoh perjalanan Jordan - Turkey selama lebih kurang 3 jam.

Pemandangan daripada penginapan kami
Sampai di Turki, kami disambut oleh seorang sahabat yang sedang menuntut di salah sebuah institusi pusat bahasa di Turki. :) Kemudian, kami terus dibawa ke tempat penginapan kami di kawasan Pazartekke. Kami berehat selama lebih kurang 5 jam dan meneruskan perjalanan kami di Istanbul.

InsyaAllah, pada post yang akan datang, saya akan menceritakan serba sedikit sejarah mengenai tempat-tempat yang telah kami lawati. :)

Wallahua'lam.

Monday, July 1, 2013

Ashabul Kahfi, Abu Alanda, Jordan

Pada 1 Jun 2013 yang lepas, pihak Biro Perhubungan dan Penempatan PRISMA telah menganjurkan mini jaulah ke tempat-tempat yang bersejarah di sekitar Amman. Antara tempat yang kami lawati ialah Gua Ashabul Kahf. Ini adalah kali ke-4 saya menjejakkan kaki di gua ini.

                Sejak menjejakkan kaki di bumi Jordan ini, saya cuba mencari sumber bacaan mengenai kisah Ashabul Kahfi. Ternyata banyak pandangan mengenai tempat berlakunya peristiwa tersebut.

                Antara pandangan di mana berlakunya peristiwa tersebut :
1)      4 di Turki (Ephesus, Tarsus, Kahramanmaras, Mardin)
2)      1 di Syria (Jabal Qassiyun)
3)      1 di Jordan (Abu Alanda)

Ada juga pendapat yang lemah mengatakan ia berlaku di Saudi Arabia dan Sepanyol.

Berikut adalah artikel ringkas yang saya petik daripada sebuah blog kepunyaan Ustaz Muhamad Hazimin Bin Sulaiman. Beliau merupakan rakan kepada senior saya, Ustaz Shahrul Ifwat yang banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya. Terima kasih ustaz.

Kisah Ashabul Kahfi Dan Beberapa Bukti Peristiwa Berlaku di Jordan
Penulis : Muhamad Hazimin bin Sulaiman

Lokasi Gua Ashabul Kahfi terletak kira-kira 7km dari pusat bandar Amman, Jordan. Kawasan ini suatu ketika dahulu dikenali dengan Ar-Raqim kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut. Perkataan Ar-Raqim juga disebut di dalam Al-Quran dan Ahli Tafsir menafsirkan Ar-Raqim sebagai nama anjing dan ada yang menyatakan ia sebagai batu bersurat.

Kahf Ahlil Kahf merupakan lokasi sejarah yang membuktikan kebenaran kisah di dalam Al-Quran iaitu di dalam Surah Kahfi mulai ayat 9 hingga 26. Ayat di dalam Surah tersebut menceritakan bagaimana 7 orang pemuda yang beriman kepada Allah melarikan diri ke sebuah gua dan Allah menidurkan mereka selama 309 tahun Qamariah (300 tahun Shamsiah) sehingga mereka tidak dapat dibangunkan oleh suara apa sekalipun.

Kisah 7 pemuda ini bermula apabila mereka berhadapan dengan raja yang zalim dan mengakui bahawa mereka hanya beriman kepada Allah yang menguasai langit dan bumi. 7 orang pemuda tersebut melarikan diri dari raja yang zalim bersama seekor anjing mereka ke sebuah gua dan bersembunyi di situ lalu mereka ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun Qamariah.

Apabila mereka bangun, salah seorang dari mereka keluar untuk membeli makanan dan mendapati zaman tersebut telah berubah dari zaman mereka memasuki gua. Ini disedari apabila wang yang mereka gunakan sudah tidak laku pada zaman tersebut (zaman mereka dibangkitkan).

Pemuda tersebut kembali ke gua dan pemuda-pemuda tersebut dimatikan oleh Allah di dalam gua tersebut.

Ahli sejarah Islam dan barat telah banyak menjalankan kajian di manakah tempat berlakunya kisah 7 pemuda tersebut ditidurkan oleh Allah dalam tempoh masa yang lama. Para pengkaji Islam menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan manakalan penganut kristian mempercayai kisah ini berlaku dan menjalankan kajian mereka dari kitab bible. Pelbagai hasil kajian, pandangan telah diberikan dalam menyatakan bilakah kisah ini berlaku? Di manakah ia berlaku? Persoalan-persoalan ini telah cuba dikupas sejak zaman berzaman dan turut dibincangkan oleh 'Alim Ulama terdahulu dan dibentangkan di dalam kitab-kitab tulisan mereka.

Bilakah ia berlaku?

Pandangan pertama menyatakan kisah ini berlaku pada zaman maharaja Rum Daqyanus atau dikenali sebagai Decius yang menguasai Amman dan memerintah sekitar tahun 249-251 Masihi. Daqyanus terkenal sebagai maharaja yang amat memusuhi agama Nasrani dan menyeksa pengikut-pengikutnya. Pemuda-pemuda tersebut dikatakan bangun ketika zaman Theodicius II yang memerintah antara tahun 408 sehingga 521 Masihi.

Pandangan kedua berpendapat bahawa kisah ini telah berlaku pada zaman penguasaan Maharaja Trajan. Manuskrip sejarah membuktikan bahawa diktator ini menyembah berhala dan membunuh sesiapa sahaja yang menentang tuhan-tuhannya sehinggakan Trajan mengeluarkan peraturan berhubung dengan perkara tersebut. Siapa yang beriman selain dari tuhan yang dia sembah, mereka akan dibunuh. Tempoh penguasaan Trajan adalah di antara tahun 98-117 masihi. Pemuda-pemuda beriman tersebut dikatakan bangun dari tidur ketika zaman Theodicius yang memerintah antara tahun 408-450 masihi.

Di manakah ia berlaku?

Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa kisah ini berlaku di Turki, Jordan, Syria, Arab Saudi dan Sepanyol. Di Turki sahaja terdapat 4 lokasi dikatakan peristiwa itu berlaku (Ephesus, Tarsus, Kahramanmaras dan Mardin). Penulis telah berpeluang menziarahi 3 lokasi di mana terdapatnya Gua Ashabul Kahfi iaitu di Abu Alanda, Jordan. Ephesus, Turki dan Jabal Qassiyun, Syria.

Apa yang boleh penulis simpulkan hasil dari bacaan, pemerhatian di lokasi-lokasi tersebut dua lokasi di Ephesus dan Jabal Qassiyun tidak banyak membuktikan bahawa di situ berlakunya peristiwa tersebut. Bukti yang penulis maksudkan ialah dari ciri-ciri gua yang diterangkan di dalam ayat Al-Quran. Berbeza dengan gua yang terdapat di Abu Alanda, Jordan. Ciri-ciri seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran agak bertepatan.

3 ciri dari ayat Al-Quran yang menjadi perhatian penulis ialah :

Pertama : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 17-


17. Dan Engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada Dalam satu lapangan gua itu... 

Lokasi Gua Ashabul Kahfi di Abu Alanda, Jordan terdapat sebuah lubang dari atas gua yang memasuki cahaya ketika matahari terbit dan ketika terbenam matahari berada dari arah pintu gua.

Kedua : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 21


21. ... setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah Yang mengetahui akan hal ehwal mereka". orang-orang Yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya Kami hendak membina sebuah Masjid di sisi gua mereka".

Di atas Gua Ashabul Kahfi di Abu Alanda terdapat rumah ibadat yang dibina ketika zaman tersebut. Rumah ibadat yang dimaksudkan adalah rumah ibadat penganut nasrani. Ketika zaman kerajaan Umawiah, rumah ibadat tersebut telah dijadikan masjid.


Ketiga : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 17


17. ..sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu.
Bentuk gua yang terdapat di Abu Alanda adalah luas dan lapang serta tidak dalam.

Bukti dari kesan sejarah dan arkeologi

Beberapa bukti telah dikenalpasti dari kesan-kesan tinggalan sejarah dan arkeologi bahawa gua yang terdapat di Abu Alanda, Jordan merupakan gua di mana berlakunya peristiwa tersebut.


1)      Terdapat tulisan pada lengkungan pintu di dinding sebelah Timur yang menyatakan 'Masjid diperbaharui pada tahun 117 hijrah yang merujuk kepada zaman Hisham bin Abdul Malik bin Marwan. Ini membuktikan bahawa ketika era kerajaan Umawiah mereka sudah memperharui masjid yang sebelum itu menjadi rumah ibadat nasrani. Kesan yang boleh dilihat ialah binaan mihrab (petunjuk arah kiblat) yang terdapat di atas gua tersebut.
2)      Tulisan khat Kufi turut ditemui yang mengisyaratkan bahawa masjid kedua di Ashabul Kahfi diperbaharui pada zaman Khomarumiah bin Ahmad Tholun dari kerajaan Abasiah. Masjid kedua yang dimaksudkan ialah masjid yang dibina berhadapan dengan gua Ashabul Kahfi setelah masjid pertama diwujudkan di atas gua ketika zaman Umawiah.
3)      Kesan Nawawis di dalam gua. Nawawis di dalam Mu'jam Wasit (m/s 962) memberi erti kubur orang nasrani yang diletakkan mayat di dalamnya. Pada Nawawis tersebut terdapat bintang segi lapan yang membuktikan tanda zaman kerajaan Rum-Byzantium pada kurun ke-3 masihi. Menjadi adat pada ketika itu, mayat-mayat nasrani akan dikuburkan di dalam bekas batu. Ini tidak mustahil bahawa mereka yang telah menguruskan mayat pemuda tersebut telah mengkebumikan mereka dengan cara dan adat mereka pada ketika itu.
4)       Penemuan barangan tembikar, duit tembaga dan perak, lampu dari pelbagai zaman (Umawiah, Abasiah, Turki Uthmaniyyah) di dalam gua tersebut dan sekitarnya. Ia membawa maksud bahawa tempat itu telah dijaga oleh pelbagai zaman yang berlalu.
5)       Al-Waqidi di dalam kitabnya Futuhat Sham telah menulis bahawa beliau bersama yang lain telah berhenti di Ain Ma' berhampiran gua ashabul kahfi. Mereka berhenti di Ain Ma' tersebut berwuduk, solat dan tidur di situ sebelum meneruskan perjalanan keesokkan harinya ke tanah Palestin. Ain Ma' terletak 70 meter dari gua ashabul kahfi.
6)      Pokok zaitun berusia ratusan tahun tumbuh berhadapan gua. Pokok tersebut telah mati dan kesan batang pokok zaitun yang berusia ratusan tahun itu kini ditempatkan di dalam muzium mini di dalam gua.
7)      Penemuan tulang di dalam Nawawis. Dikatakan bahawa tulang-tulang tersebut adalah kepunyaan pemuda-pemuda tersebut.

Dari beberapa penemuan dan bukti yang ada. Berkemungkinan peristiwa yang telah dinyatakan di dalam Surah Kahfi mengenai pemuda-pemuda yang ditidurkan selama 300 tahun Shamsiah telah berlaku di Abu Alanda, Jordan.

Wallahualam.

-----
Begitulah serba sedikit pembentangan yang dapat saya berikan untuk dikongsi bersama dengan pembaca. Namun ia hanya sebuah pandangan dari saya hasil dari bacaan yang sedikit dan tinjaun yang masih belum menyeluruh.

Saya telah tiba di Gua Ashabul Kahfi Ephesus Turki pada Mei 2002. Terdapat bukti lubang cahaya, kesan Nawawis namun ianya seperti 'samar'.

Jun 2003 saya berpeluang bersama krew Jejak Rasul di Syria. Banyak ilmu saya dapat apabila dapat berbual dan berbincang dengan Ust Wan Alias Abdullah. Saya bertanya tentang Gua Ashabul Kahfi. Beliau lebih meyakini bahawa di Tarsus adalah tempat peristiwa itu berlaku.

Feb 2006 saya membuat tinjaun di Ashabul Kahfi yang terletak di Jabal Qassiyun, Syria. Tidak banyak bukti ia berlaku di situ. Menurut penjaga disitu, lubang cahaya telah ditutup. Namun di atas gua tersebut ada sebuah masjid.

2000-2007 saya sering ke Ashabul Kahfi di Amman. Mungkin ada yang berkata disebabkan kekerapan saya ke gua tersebut, saya lebih mengatakan disitu berlakunya peristiwa tersebut. 'Tuduhan' itu salah. Saya lebih mengatakan bahawa di Abu Alanda berlakunya peristiwa tersebut ialah hasil dari bacaan dan tinjauan yang telah saya bentangkan di dalam artikel di atas. Jika ada pandangan yang lebih tepat sudah pasti saya akan menerimanya.

Mengkaji di mana peristiwa ini berlaku penting namun apa yang lebih penting adalah pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah Ashabul Kahfi tersebut. Antaranya ialah kehebatan iman pemuda-pemuda tersebut yang mampu berhadapan dengan maharaja yang zalim demi keimanan mereka kepada Allah S.W.T.


Cc : Ustaz Muhamad Hazimin Bin Sulaiman (penghunisahara.blogspot.com)

     Begitulah sedikit sebanyak tentang Ashabul Kahfi yang dapat saya nukilkan untuk entry pada kali ini.

Mengkaji di mana peristiwa ini berlaku penting namun apa yang lebih penting adalah pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah Ashabul Kahfi tersebut. Antaranya ialah kehebatan iman pemuda-pemuda tersebut yang mampu berhadapan dengan maharaja yang zalim demi keimanan mereka kepada Allah S.W.T.

Pandangan pintu masuk Gua Ashabul Kahfi

Antara kesan Nawawis

Mini muzium di dalam Gua Ashabul Kahfi

Gambaran jauh Gua Ashabul Kahfi

Antara peserta Journey of Jordan 2012

Sunday, February 24, 2013

Ukhuwah itu indah...





Alangkah syahdu menjadi kepompong, berkarya dalam
diam, bertahan dalam kesempitan. Tetapi bila tiba waktu
untuk jadi kupu-kupu, tak ada pilihan selain terbang
menari; melantun kebaikan di antara bunga, menebar
keindahan pada dunia.
Dan angin pun memeluknya, dalam sejuk
dan wangi surga.
Alangkah damai menjadi bebijian; bersembunyi di
kegelapan, menanti siraman hujan, menggali hunjaman
dalam-dalam. Tapi bila tiba saat untuk tumbuh dan mekar,
tak ada pilihan kecuali menyeruak menampilkan diri;
bercecabang menggapai langit, membagikan buah manis di
tiap musim pada segenap penghuni bumi.
Dan matahari pun mendekapnya, dalam hangat serta
cahaya.
Aku cemburu.
Maka kutulis buku ini untuk jiwaku dengan segenap harap dan
rindu; berkilailah dalam dekapan ukhuwah.
 (Salim A. Fillah)


Bismillahirrahmanirrahim...

Buat semua sahabat-sahabat, teman-teman, rakan-rakan, kawan-kawan,

Ku doa, 
Moga ukhuwah ini kekal selamanya,
Walau dilanda pelbagai mehnah,
Walau semua, jauh di mata,
Tautan kasih pengikat jiwa,
Moga ALLAH rahmati semua.

[Indahnya ukhuwah andai semua kerana ALLAH]

Allah taala tunjang utama,
Hidup mati kerana DIA,
Marilah mari, kita semua,
Tautkan hati, kuatkan rabitah.

untuk mendownload buku ini dalam bentuk PDF, boleh tekan link yang disediakan. Moga bermanfaat.


:: All Is Well ::

AKU adalah AKU...

Aku adalah aku,
Hamba ALLAH yang lemah,
Insan kecil yang tak sempurna.

Aku adalah aku,
Sedang mencari identiti diri,
Agar tak tersilap langkahan ini,
Menuju bahagia, duniawi ukhrawi.

Aku adalah aku,
Insan kecil yang tak punya apa-apa,
Mengharap redha dari Yang Maha ESA,
Untuk hidup bahagia, selamanya.

Aku adalah aku,
Insan lemah berjiwa muda,
Ingin mengharung segala mehnah,
Yang muncul di celah kesibukan dunia.

Aku adalah aku,
Insan yang alpa,
Sering terpesona dengan cantiknya dunia,
Bahagianya cuma sementara.

Aku adalah aku,
Ingin mengislah diri ini,
Mencari sesuatu yang tersembunyi,
Di sebalik tahajjud pada Illahi.

p/s : اللهم اغفرلنا ذنوبنا ولوالدينا وارحمهم كما ربونا صغيرة...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...